Friday, February 11, 2011

Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW...

Assalamu'alaikum... pertama sekali..di sini, ana ingin mngucapkan selamat menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW kepada seluruh umat Islam di serata dunia.. Pd tahun ini, maulid Nabi Muhammad SAW akan disambut pada 15/2/2011 bersamaan 12 R'awal tahun 1432 hijrah... Dalam memperingati hari kelahiran Baginda s.a.w, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit dan bangsa turut menyatakan kesyukuran dengan melahirkan kegembiraan tatkala meraikan bulan kelahiran Rasulullah ini.


          Dalam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w atau lebih dikenali sebagai ‘Maulid Nabi' ini, umat Islam digalakkan berpuasa sunat, mandi sunat, berziarah ke makam Baginda dan mengerjakan amalan-amalan mulia serta memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat.








          Terdapat pelbagai peristiwa yang berlaku dalam bulan Rabiulawal. Sesungguhnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rabiulawal mengandungi nilai yang amat tinggi dalam perkembangan Islam. Perjuangan Rasulullah s.a.w menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok alam tidak berlaku dalam masa yang singkat.

Kelebihan bulan Rabiulawal

RABIULAWAL berasal dari dua kalimah Arab, Rabi' ertinya musim bunga, Awal ertinya pertama. Rabiulawal dimasyhurkan bulan Maulid Nabi Muhammad S.A.W. Rabiulawal bulan yang ketiga mengikut hitungan bulan Hijrah. Bagi masyarakat Islam menganggap bulan Rabiulawal juga bulan mulia yang tidak kurang utamanya, kerana bulan tersebut ialah kelahiran Nabi Besar Muhammad S.A.W. di mana mengikut sejarah ia diputerakan di Kota Mekah pada hari Isnin 12hb. Rabiulawal tahun Gajah (iaitu tahun berlakunya penaklukan tenteran bergajah Abrahah di Mekah) bersamaan dengan 20hb, April, 570 Masihi.

          Mengambil sempena bulan keputeraan baginda Rasulullah S.A.W. ini umat Islam terutamanya di Malaysia dan Indonesia mereka menjadikan Rabiulawal ini bulan Haul (hari ulang tahun Nabi Besar Muhammad S.A.W.) bukan setakat itu saja malah segala hal yang berkaitan dengan urusan kehidupan masyarakat Islam seperti hari nikah kahwin, berkhatan anak, menegakkan rumah, mengadakan majlis kenduri-kendara dan kesyukuran mereka memilih bulan Rabiulawal. Maka terbukti berkembang biak dan semarak semangat dakwah Islamiah di tempat-tempat pesantren (pengajian pondok) sama ada di Malaysia atau di Indonesia, mereka mengadakan temasya besar-besaran seperti hari Ikhtifal (hari ucapan) dan sebagainya mengambil sempena bulan Rabiulawal, manakala di masjid-masjid dan surau-surau sepanjang bulan Rabiulawal diadakan majlis perhimpunan kerana ulang tahun keputeraan Rasulullah S.A.W. Bacaan al-Quran, Tahlil dan bacaan Rawi Berzanji tidak ketinggalan, masyarakat Islam dari berbagai peringkat turun ke masjid dan surau bahkan perarakan kadangkala diadakan, alim-ulama cerdik cendikiawan Islam dijemput hadir untuk memberi ceramah agama Islam semata-mata memperingati bulan Rabiulawal. Jelas dari bulan Rabiulawal ini telan beratus-ratus tahun masyarakat Islam di Malaysia mengadakan sambutan kebesaran syiar Islam pada bulan Rabiulawal. Masyarakat Islam rasa terhutang budi dengan wujudnya temasya Maulud Nabi yang diadakan pada tiap-tiap tahun bulan Rabiulawal dapat menarik dan mendakwah bahkan menyeru umat Islam dari berbagai peringkat masyarakat supaya mencontohi sifat dan sunnah-sunnah Rasul. 





         Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah S.W.T. dengan rahmat-Nya Negara Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi serta menjadikan bulan Rabiulawal bulan Dakwah Islamiah, semoga dengan semangat penerapan amalan Islam di Negara Malaysia ini rakyatnya terus maju jaya dan berdisiplin, bersih, jujur, amanah dapat mencontohi sunnah-sunnah Rasul, dengan amalan tersebut dipohonkan Allah jauhkan dari segala malapetaka dan ancaman dalam masyarakat majmuk berbilang kaum mengamalkan kebersihan sebagai teras orang yang beriman.